Home / Malay / Luahan sayu pekerja MAS

Luahan sayu pekerja MAS

Sepang – “Saya tidak tahu apa akan dilakukan selepas ini kerana masih terkejut selepas menerima surat penamatan perkhidmatan daripada Penerbangan Malaysia (MAS),” kata kakitangan MAS yang hanya ingin dikenali sebagai Hafiz, 30-an.

Hafiz yang sudah lebih tujuh tahun berkhidmat dengan syarikat penerbangan nasional itu berkata, surat notis penamatan yang dipos ke rumah dibuka isteri sebelum dimaklumkan kepadanya yang sedang bekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Katanya, berikutan notis penamatan itu, dia terpaksa mencari kerja lain sebelum 31 Ogos iaitu hari terakhir perkhidmatannya dengan MAS.

“Bukan senang untuk mencari kerja lain ketika ini, tambahan pula saya sebagai ketua keluarga perlu menyara isteri dan anak.

“Buat masa ini saya tidak tahu apa perlu dilakukan. Walaupun agak tertekan, saya reda dan percaya akan ada rezeki lain untuk kami sekeluarga,” katanya yang kelihatan sugul ketika ditemui di sini, semalam.

Pada Ogos 2014, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengumumkan 12 langkah bagi menjayakan pelan penstrukturan semula MAS bernilai RM6 bilion yang antara lain menubuhkan entiti baru dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo) dan menyaksikan 6,000 pekerja daripada pelbagai peringkat diberhentikan.

Pada awal Mac lalu, Khazanah memaklumkan proses penilaian bakat yang meliputi 20,000 pekerja MAS selesai pada 2 Februari dan nasib pekerja hanya diketahui 1 Jun, lapor Harian Metro.

About mat

Check Also

Kanak-kanak terjatuh dari eskalator

Kota Kinabalu – Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan parah selepas terjatuh dari eskalator tingkat …

Copy Protected by Chetan's WP-Copyprotect.